HOEDSPRUIT: Aktiviti pemburuan haram badak sumbu meningkat semula di Afrika Selatan sejak kerajaan melonggarkan sekatan pergerakan, selepas setahun dicengkam pandemik.

Reuters melaporkan, jurucakap taman negara memberitahu, ketika sekatan perjalanan dan pergerakan diketatkan, termasuk penerbangan antarabangsa sejak Mac tahun lalu, kesan baiknya adalah pengurangan aktiviti pemburuan haram.

Pada 2020, 394 badak sumbu telah diburu, iaitu 30 peratus lebih rendah berbanding tahun sebelumnya. Jumlah kes itu juga yang terendah sejak tahun 2011.

Namun, kemudiannya Afrika Selatan mula melonggarkan sekatan perjalanan pada November.

"Sejak November dan Disember tahun lalu dan memasuki 2021, di kawasan landskap ini terutamanya Taman Negara Kruger mengenal pasti kenaikan insiden pemburuan haram badak sumbu,” ujar Jo Shaw, dari organisasi Africa Rhino Lead di bawah WWF International Network.

Dia bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah sebenar insiden yang dimaksudkan.

“Ada kaitan antara kenaikan kes pemburuan haram dengan pelonggaran sekatan pergerakan. Ia berhubung kait dengan permintaan pasaran antarabangsa,” jelas Shaw.

Pemburuan badak sumbu selalunya melibatkan pemburu tempatan dengan sindiket jenayah antarabangsa yang menyeludup komoditi bernilai tinggi merentasi sempadan.

Lazimnya, permintaan tinggi itu datang dari Asia.

Kaedah yang digunakan sangat kejam, iaitu badak sumbu berkenaan ditembak dengan ubat pelali sebelum sumbunya dipotong. Badak sumbu itu biasanya akan dibiarkan mati akibat pendarahan melampau.

Cara lain adalah dengan terus menembak mati badak itu menggunakan senapang berkuasa tinggi sebelum sumbunya dikerat.

Kebanyakan taman negara berdepan kekangan kewangan akibat kemerosotan hasil pelancongan, sekali gus memaksa pemotongan bajet untuk membiayai kumpulan pemantau keselamatan atau pencegah pemburu haram.

Antara langkah radikal yang dilakukan badan veterinar antarabangsa adalah dengan membuat prosedur membuang sumbu badak mengikut kaedah yang selamat, demi mengelakkan hidupan liar itu menjadi sasaran pemburu yang akan membunuhnya.

Afrika Selatan mempunyai sekitar 16,000 badak sumbu dalam sempadannya.